30
Sep

Model Bisnes Memecat Pekerja

Salah satu buku kegemaran saya adalah daripada tulisan Andy KesslerEat People. Penulisan ‘semi-satirical‘ dan penalaan cara fikir yang terus dan tidak bertapis beliau buat saya merujuk kepada buku ini berkali-kali dalam setahun. Teringat kembali kepada isi buku ini bila memandu pulang ke Bangi sewaktu di plaza tol Bentong; semua tollbooth menggunakan sistem Touch n’ Go atau SmartTAG sahaja. Sistem pembayaran tunai sudah tidak digunakan lagi.

Eat People yang ditulis Kessler bukan tentang kanibalism, tetapi bagaimana untuk mewujudkan satu model bisnes yang akan mengurangkan pekerjaan. Inilah yang menarik, diwaktu usahawan-usahawan lain memegang kepercayaan bahawa tanggungjawab mereka adalah untuk meningkatkan peluang pekerjaan (yang semakin sedikit, khasnya di Malaysia), beliau menekankan model bisnes yang terbaik adalah bisnes yang membuatkan orang lain tidak ada kerja. Menarik, tapi sedikit menekan kapasiti fikrah tipikal.

Berbalik kepada kisah plaza tol tadi, kenapa tol Bentong dan Gombak dah tak gunakan sistem bayaran tunai? Macam mana dengan periuk nasi mereka yang bekerja sebagai atendan tunai di plaza tol? Yang pasti, objektifnya mestilah untuk mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti. Perjalanan trafik akan lebih lancar bila semua kereta menggunakan sistem pembayaran elektronik. Kos dapat dikurangkan; kos penyelenggaraan sistem pembayaran elektronik sudah pasti lebih murah daripada gaji untuk atendan tol. Lebih lagi, sistem pembayaran elektronik tidak memerlukan KWSP, SOCSO atau bayaran overtime. Sistem ini juga akan mengurangkan kepincangan dalam pengumpulan data atau kesilapan yang biasa dibuat oleh manusia.Teringat juga sewaktu di US dulu, ada satu pasaraya kegemaran kami, Walgreens, yang menggunakan sistem self check-out. Pelanggan akan scan sendiri barang-barang yang ingin dibeli dan bayar menggunakan kad kredit atau debit. Untuk pembayaran tunai, cuma perlu bawa resit dan barangan yang telah discan kepada seorang dedicated cashier yang menguruskan sistem self check-out. Produktiviti meningkat, dan kos berjaya dikurangkan.

Tapi ini kezaliman! Peluang pekerjaan akan makin berkurang.

Di dalam buku beliau, Andy memberi contoh bagaimana model bisnes sistem memberi kesan positif kepada pembangunan teknologi. Satu ketika dulu, pelabuhan di San Francisco menggunakan tenaga manusia untuk mengangkat kargo dari kapal. Tiada mesin yang terlibat; hanya tenaga manusia. Banyak kargo yang rosak, hilang dan kos membayar tenaga manusia ini sangat mahal. Sehinggalah kren diperkenalkan di pelabuhan tersebut.

​Ramai pekerja-pekerja yang terpaksa di’laid-off‘, dan digantikan dengan kren yang lebih murah dan efisien. Kargo dapat dipindahkan dengan mudah, murah dan cepat. Produktiviti meningkat, dan kos berjaya dikurangkan. Pembangunan teknologi. Isu berkurangnya peluang pekerjaan? Peluang pekerjaan baru akan diwujudkan melalui kilang-kilang membuat kren. Semakin banyak pelabuhan yang menggunakan kren, semakin banyak kilang yang dibina untuk menghasilkan lebih banyak kren.

Dari segi bisnes model penyediaan sistem juga, ada banyak contoh kontemporari yang kita boleh lihat hari ini. Facebook adalah laman web ‘content management‘, tapi mereka tidak menyediakan sebarang content. Uber adalah perkhidmatan teksi, tapi mereka tidak menggunakan teksi mereka sendiri. AirBnB adalah laman web untuk mencari tempat penginapan, tapi mereka tidak mempunyai sebarang aset hartanah mereka sendiri untuk disewakan.

Kita lihat daripada contoh kontemporari tadi tadi, mereka menggantikan posmen, teksi dan hotel sebagaimana pekerja pelabuhan digantikan dengan kren dan sebagaimana sistem bayaran tunai digantikan dengan Touch n’ Go dan SmartTag. Persamaan mereka? Semuanya menjual satu benda yang sama; sistem!

Siapa yang paling untung dalam peralihan plaza tol dari sistem bayaran tunai kepada sistem pembayaran elektronik? Bukan syarikat pemegang konsesi. Bukan kerajaan. Bukan juga pengguna. Tetapi penyedia sistem. Syarikat yang mencipta dan mempatenkan sistem Touch n’ Go dan SmartTag adalah yang paling untung. Syarikat membuat kren adalah yang paling untung.

Model bisnes penyediaan sistem ini adalah satu bisnes yang sangat menguntungkan. Cipta satu sistem, patenkan, dan capai seberapa ramai pengguna yang boleh. Caranya? Lihat sekeliling kita dan fikirkan, bagaimana kita boleh ‘kurangkan’ pekerjaan. Memang tak akan tercapai 100% tenaga kerja menggunakan mesin semata-mata, tetapi kita boleh terus cuba mencari jalan untuk memudahkan urusan, meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kos.

Cari sistem anda sendiri untuk disewakan. Tidur malam ni, esok pagi anda dah multi-jutawan.

P.s. Mood menulis datang walaupun penat menempuh traffic jam. Terpaksa dipenuhi. Semoga bermanfaat.

Syahmi Yem