27
Jul

Matlamat 20an Penentu Masa Depan

AWAS: Bacaan Panjang dan Berat

Waktu umur kita 20an, kita ada banyak matlamat. Waktu di universiti, di kolej, kita rasa excited untuk capai cita-cita kita. Kita merancang untuk grad dengan cemerlang, keluar dengan ijazah yang hebat dan terus ditawarkan bekerja di syarikat yang bagus bagus. Kita pasang matlamat dan cita-cita, walaupun waktu di universiti duit kita tak pernah cukup, hidup kita tak sempurna sangat, tapi kita dah ada sasaran sendiri, target sendiri. Kita kata, “umur aku 26, aku dah boleh bawak Honda Civic FD, kerja dengan gaji RM5,000 sebulan dengan syarikat [masukkan nama syarikat terkenal dalam bidang anda disini]. Lepas tu aku nak bukak butik sendiri, bukak kedai kopi sendiri, kedai vape sendiri (contoh). Umur aku 26 aku nak kahwin dengan girlfriend aku sekarang, dan kitorang akan pergi honeymoon di Eropah seminggu.”

Tapi realiti sangatlah tak semudah cita-cita dan angan-angan yang kita pasang dulu. Sepanjang perjalanan kita, kita sedar, rupanya matlamat yang kita pasang tu tak semudah apa yang kita sangkakan sewaktu di universiti dulu. Kita keluar dari universiti, berbulan-bulan menunggu panggilan kerja. Akhirnya kita redha dengan apa pun kerja yang kita dapat, kita cuma ambil apa yang ditawarkan. Lepas satu kerja, satu kerja kita buat. Masih lagi duit tak cukup, kita cuba berniaga secara sambilan, mungkin akan cukup untuk penuhi cita-cita kita dulu. Kita masih optimis.

Tapi sebulan, enam bulan, setahun kita bekerja, kita makin selesa. Kita redha dengan apa yang kita boleh dapat, asalkan ada. Kita keluar pagi, balik kerja petang, cuti hujung minggu. Kita kaya sekejap awal bulan, dan kita sentiasa tunggu hujung bulan untuk dapat gaji. Kita ulang lagi, ulang lagi.

Poster Honda Civic dalam bilik kita terus makin lusuh, dan kita redha dengan Myvi yang kita bayar bulan-bulan selama 9 tahun tu. Kita redha lagi. Sampai satu tahap, kita dah tak rasa teringin pun dengan Honda tu, dan kita turunkan dan buang poster yang bertahun-tahun di dinding bilik kita tu. Angan-angan nak berkahwin dengan girlfriend kita sewaktu di universiti dulu berkecai bila dia dikahwinkan dengan orang yang jauh lebih berduit daripada kita. Kita tak boleh buat apa-apa, kita tak mampu. Kita redha lagi. Kita sambung balik rutin harian kita dengan harapan satu hari nanti akan ada perempuan yang akan masuk meminang kita.

Bila kita bukak Facebook, kita nampak cuma yang indah indah. Kita nampak cuma nampak yang baik baik tentang kawan-kawan kita, ada yang baru bertunang, ada yang baru berkahwin, ada yang baru dapat anak. Ada jugak yang hantar gambar Honda Civic FD kereta idaman kita tu, walaupun second-hand, dengan caption, “Alhamdulillah, akhirnya dapat jugak baby FD.” Kita jadi makin tertekan. Kita tak tahan lagi, akhirnya kita redha.

Bila makin kita scroll kebawah, kita nampak salah seorang kawan kita yang kahwin dengan anak seorang Dato’ berbulan madu di Maldives, kita tersandar di kerusi. Tak boleh nak tersenyum. Teringat angan-angan berbulan madu bersama bekas teman wanita waktu di universiti dulu di Eropah. Nak tidur satu malam di London, satu malam di Zurich, satu malam di Amsterdam. Kita terfikir, “apa yang aku buat dengan hidup aku ni?” Kita hela nafas panjang, dan sambung scroll news feed Facebook kita. Dahi kita makin berkerut.

Kita lupa dengan cita-cita dan matlamat kita dulu. Kita terus redha. Tiba-tiba Whatsapp kita berbunyi. Kita capai telefon, dan rupanya ada kawan lama kita ajak jumpa semula. Kita rasa hidup kita makin ceria, tak bertangguh, kita tetapkan masa dan tempat untuk bertemu. Bila berjumpa dengan kawan kita, dia tunjukkan satu pelan perniagaan yang menjanjikan pulangan yang cukup lumayan. Kita nampak dan percaya kerana kawan kita yang dulunya bukan pandai sangat di sekolah, dah boleh pakai kereta BMW. “Kalau aku yang baru buat pun dah boleh pakai BMW, kau kurang-kurang dah boleh pakai FD lepas dua tiga bulan buat benda ni.” Kata kawan kita sambil menyalakan rokok. Kita tersenyum.

Kita keluarkan duit simpanan untuk beli rumah nanti, dan gunakan untuk melabur dengan perniagaan yang kawan kita perkenalkan ini. Hati kita berbunga bunga. Rasanya bila kita dah dapat beli FD nanti, mesti ramai wanita-wanita comel yang akan mendekati kita, dan waktu tu, mudahlah kita nak memilih yang mana satu idaman hati. Waktu tu, semua angan-angan kita akan menjadi kenyataan. Satu harapan besar tumbuh di dalam hati kita, “Inilah waktu aku ubah hidup aku, inilah masanya yang aku tunggu-tunggu. Akhirnya, aku akan berjaya jugak macam kawan-kawan aku di Facebook.”

Tiga bulan selepas tu, kita masih belum berjaya beli Honda FD. Kita masih lagi kehulu kehilir dengan Myvi kita tu. Masih ada 7 tahun lagi sebelum habis bayar. Ya Allah, lama lagi ni rupanya. Kita makin tertekan.

Enam bulan selepas tu, kawan kita yang ajak melabur hari tu dah lost contact. Kita cuba call tapi tak dapat. Kita cuba Whatsapp tapi cuma dapat blue tick. Dua tiga hari selepas tu, dah tak dapat hubungi langsung. Kita dah di’block’ di Whatsapp dan Facebook. Duit yang dilaburkan masih tak dapat lagi. Kita makin tertekan. Pergi balai polis untuk buat laporan, polis buat acuh tak acuh, macam malas nak melayan kes kita ni.

Duit simpanan kita dah habis. Kita dah tak ada apa-apa lagi. Kita cuma boleh redha. Kita sambung semula rutin harian kita. Cita-cita dan angan-angan yang dulu dah tak wujud lagi. Kita dah tak mengharap langsung. Kalau kita dapat gaji yang cukup untuk bayar sewa rumah dan pinjaman kereta bulan ni pun dah cukup bagi kita. Kita dah taknak apa-apa lagi. Kita dah takut nak mengharap, apatah lagi nak mencuba atau nak berusaha.

Sekarang umur kita dah 28 tahun dengan gaji RM2,000 sebulan. Kita masih muda tapi kita dah rasa sangat penat. Kita tak ada apa-apa yang memacu kita dari hari ke hari. Mak, abah asyik membandingkan kita dengan abang kakak kita yang dah berkahwin, dah dua tiga empat orang anak. Tapi kita masih lagi macam ni. Rumah sendiri pun belum ada. Kita tak tahu lagi nak cakap apa, kita redha.

Ini pengenalan untuk pos saya seterusnya, menetapkan dan mencapai matlamat. Semua orang boleh pasang cita-cita, semua orang boleh berangan. Tapi apa yang membezakan 92% yang gagal, dan 8% yang berjaya capai matlamat mereka adalah diri mereka sendiri. Anda nak sesuatu? Anda betul-betul nak sesuatu? Berapa kuat sanggup anda usaha untuk capai matlamat tu?

Hidup biar bermatlamat, dan matlamat kita tu biarlah memanfaatkan orang lain.

Rujuk Al-Quran (2:30) (51:56)

Umur dah 26 tapi nampak macam 18 sikit,
Syahmi Yem

😛