17
Oct

3 Langkah Untuk Strategi Media Sosial yang Mantap

Sebab memulakan bisnes di Facebook ni ‘mudah’, pemilik perniagaan biasanya memulakan pemasaran media sosial mereka tanpa sebarang strategi. Jika anda adalah salah seorang daripada mereka yang menganggap, dua tiga pos iklan seminggu akan membantu anda menjual produk / servis anda dan menarik pelanggan, berhenti sekarang. Pemasaran media sosial jauh, jauh lebih daripada itu.

Media sosial bukannya sesuatu yang ‘random’. Bukannya cuma tembak dan berharap satu atau dua peluru akan kena tepat pada sasaran. Sebagai sebuah perniagaan yang menggunakan media sosial, anda perlu berkongsi sesuatu yang pelanggan anda benar-benar ambil kisah, ambil tahu – seperti gambar seorang pelanggan anda; sebuah update tentang promosi ekslusif untuk produk anda, etc.

Pos-pos anda adalah ‘gambaran’ kepada bisnes anda. Pos-pos anda adalah cerita tentang bisnes anda.

Tapi macam mana nak buat? Macam mana nak dapatkan satu pos yang berkesan? Semuanya akan bermula dengan strategi. Anda boleh rujuk penulisan saya tentang ‘Start With Why’ disini.

Strategi media sosial yang berkesan adalah (1) memilih saluran anda dengan betul, (2) merancang kandungan anda, dan (3) berinteraksi dengan bakal pelanggan / pelanggan anda!

Langkah #1: Pilih Saluran yang Betul

Salah satu tips penting yang sentiasa saya ulang kepada peserta seminar saya adalah untuk mengenalpasti pelanggan mereka. Anda perlu betul-betul faham akan dimana pelanggan anda berada dan apa yang mereka katakan tentang anda. Jangan terjebak dengan kefahaman salah yang anda perlu ada di semua platform media sosial yang ada! Anda tidak perlu ada di semua platform. Sebenarnya, pelanggan anda mungkin cuma menggunakan dua media sosial sahaja. Pilih platform anda dengan betul.

Jangan cuma fikir dalam kepala, ini serampang lapan belas mata, barulah kita boleh dapat pukal. Tak, bukan macam tu. Saya cuba terangkan ek. Kalau masih belum jelas boleh komen kat bawah ataupun sertai kelas saya. Sekarang anda menjual produk yang disasarkan kepada golongan dewasa (30 ke 50 tahun), sebagai contoh, ubat kuat lelaki ataupun produk kesuburan. Facebook adalah platform terbaik untuk produk ini, tapi Instagram cuma akan membazirkan bajet iklan anda. Bila anda membuat pos iklan di Facebook dan meletakkan iklan ini di Instagram secara berbayar, anda akan mendapat cost-per-engagement yang sangat murah. Tetapi produk yang disasarkan untuk generasi X ini sukar ditukarkan kepada jualan di Instagram. Generasi ini lebih ramai di Facebook.

Anda tak perlu ada di semua platform. Jika anda mempunyai masalah untuk mencapai pasaran sasaran anda, lihat kepada produk-produk pesaing anda. Yang paling mudah, saya biasa sebutkan kepada pelajar saya, “Cari di mana pelanggan anda biasa pergi, dan iklankan disitu.”

Langkah #2: Cipta dan Gunakan Jadual Media Sosial

Di media sosial, kita biasanya akan nampak dan perasan jenama-jenama yang wujud di pelbagai platform dan saluran yang berkongsi kandungan yang tidak relevan tanpa sebarang sebab. Like, what? Jangan, kita Facebook page produk, dan bukannya page Amran Fans atau Sultan Melaka. Fikirkan pelanggan anda – mereka menanti suatu kandungan posting yang menarik, dan relevan kepada mereka dan produk anda. “Main tembak” takkan membantu anda buat jualan. Kejayaan tu takkan datang secara tak sengaja. Strategi media sosial yang berjaya adalah hasil daripada perancangan yang betul, dan datang daripada tindakan yang konsisten.

Inilah sebabnya saya sentiasa menyarankan pelajar saya menggunakan jadual media sosial. Pilih kandungan dengan bijak dan bersedia dengan pos-pos yang akan datang, dan kekal efisien dan efektif. Bila anda merancang pos-pos anda, anda boleh menerbitkan pos baru pada waktu yang optimum, dan ini akan meningkatkan kemungkinan pos anda akan dilihat oleh bakal pelanggan anda. Tapi, ini tak bermakna anda tak boleh poskan sesuatu yang anda tidak rancang. Kalau anda terjumpa satu idea (biasa berkenaan isu semasa), sudah pasti anda boleh poskan ke page anda.

Macam mana nak kenalpasti pos yang efektif? Senang. Dalam kelas saya, biasanya saya akan lukis dua garisan. Garisan yang pertama adalah pelanggan kita. Garisan yang kedua adalah produk kita. Pertemuan di antara dua garisan ini adalah pos yang efektif.

Kalau anda bukanlah seseorang yang mempunyai masa untuk mengisi jadual media sosial, susun tema harian untuk page anda bagi memastikan kandungan anda kekal konsisten. Sebagai contoh:

Isnin: Fakta Tentang Produk / Kandungan Produk
Selasa: Testimoni Pengguna
Rabu: Fakta Kelakar / Mengejutkan (Jangan tulis yang berat-berat, berikan pengguna anda satu bahan yang ringan sahaja)
Jumaat: Perkongsian Keagamaan

Langkah #3: Berinteraksi dan Berbual

Bila anda dah bersedia dengan pelan kandungan anda, gunakan potensi media sosial untuk berinteraksi dengan pelanggan anda. JANGAN TAKUT untuk ‘add friends’ atau ‘invite friends’ untuk like page anda. Jika anda berjumpa dengan seseorang di mana-mana acara atau berbual dengan pelanggan anda di dunia sebenar, cari mereka di Facebook. Paling teruk pun nanti mereka cuma akan ignore request anda.

Bila anda dah berkawan dengan mereka (di media sosial), pastikan anda berinteraksi dengan kandungan mereka. “Like” gambar mereka. Komen pada pos-pos mereka. Jadikan interaksi anda itu peribadi. GET INVOLVED.

Jika anda tidak pasti bagaimana untuk bermula berinteraksi di Facebook, cari pos anda yang paling banyak ‘share’, dan like / komen pada setiap pos mereka yang ‘share’ pos anda. Ajak mereka berborak. Bagi pendapat anda. Respon! Untuk Facebook, sertai group-group yang berkenaan dengan industri anda. Kongsi maklumat anda.

Sebagai seorang pemilik bisnes yang dah sedia sibuk, nak menguruskan pemasaran media sosial memang mencabar. Tapi kalau anda boleh buat dengan baik, ganjaran dia pasti lebih lagi!

Syahmi Yem